YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan menyerahkan kunci rumah kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) kepada penerima di Kampung Sungai Gangchong, Acheh dan Kampung Tanjung Pulai, Pekan, Pahang, semalam.
Ketibaan Baginda diiringi anakanda Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.
Kedua-dua penerima rumah kurniaan tersebut, Mohd Khanafiah dan Norhasnah Mat Yunos, menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Seri Paduka Baginda atas kemurahan hati Baginda mengurniakan rumah kepada mereka dan menyifatkan kurniaan ini sebagai yang amat bernilai dan bermakna buat mereka.
Seri Paduka Baginda turut berkenan meluangkan masa menyantuni kedua-dua penerima tersebut dan meninjau kawasan dalaman rumah baharu mereka.
Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan sumbangan sebelum meninjau rumah setingkat berkeluasan 660 kaki persegi yang mempunyai tiga bilik, dua bilik air selain dilengkapi ruang makan selesa dan disertakan perabot.
Usai Program Kurniaan Rumah YASA, Baginda turut berkenan mencemar duli berangkat mengurniakan sumbangan kepada 10 golongan asnaf di kedua-dua kampung berkenaan. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.