SELEPAS secara rasmi melangkah masuk ke Putrajaya selaku Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memulakan sentuhan pertama dengan turun ke padang meninjau mangsa bencana di Kedah, semalam.
Beliau terus mengumumkan bantuan segera berjumlah RM75 juta bagi membantu kerajaan negeri Kedah memperbaiki segala kemudahan awam dan infrastruktur di Yan dan Merbok yang rosak akibat tragedi kepala air dari Gunung Jerai pada 18 Ogos lalu.
Ia disambut baik kerajaan negeri dan tentunya rakyat gembira dengan keprihatinan Perdana Menteri yang memahami keadaan mereka, apatah lagi ketika dihimpit bencana alam, sedangkan masalah pandemik Covid-19 masih belum reda.
Sepanjang perjalanan menuju ke kawasan tragedi di Yan, rakyat menunggu konvoi Perdana Menteri dengan penuh minat. Mereka merakam kenangan gambar dan video sebagai kenangan, sebelum dikongsikan di media sosial.
Petandanya cukup jelas, mereka gembira dan menyokong Ismail Sabri kerana melakukan gerak kerja pantas membantu rakyat, walaupun beliau sebenarnya masih belum mempunyai pasukan iaitu barisan kabinet.
Apa yang beliau ada cuma sokongan rakyat yang jelas mahukan Ahli Parlimen Bera, Pahang ini mengenepikan segala kekacauan politik, dan fokus kepada menyelesaikan isu negara iaitu pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi.
Ramai pemimpin parti negeri turut hadir ketika Ismail Sabri melawat kawasan tragedi. Sedangkan, rakyat sedia maklum, sebelum ini, kumpulan 15 Ahli Parlimen Umno menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga kabinet terpaksa dibubarkan dan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan.
Selepas bersetuju menyertai senarai 114 Ahli Dewan Rakyat menyokong Ismail Sabri sebagai perdana menteri, kini timbul desas desus mereka mahukan balasan. Sudah tentunya jawatan Kabinet menjadi pertaruhan.
Sedangkan, pemimpin akar umbi pelbagai parti dan rakyat mahukan Ismail Sabri diberi kebebasan penuh untuk membentuk ‘Keluarga Malaysia’. Sebagai pemimpin berpengalaman, tentunya beliau mempunyai senarai bayangan dengan mengambil kira sokongan semua parti yang membolehkannya menerajui kerajaan.
Jadi, jangan campur tangan dan terlalu mendesak supaya wakil mereka berada di dalam senarai kabinet. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.