Temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 buka tirai secara rasmi

Malaysia sasar tiga emas pada temasya kali ini

0
588

TEMASYA Sukan Paralimpik Tokyo 2020 bermula secara rasmi pada Selasa malam dengan dengan upacara perasmian pembukaan di Stadium Nasional di Tokyo yang berlangsung meriah sebagai pembuka tirai.

Upacara gilang-gemilang yang diadakan di ibu negara Jepun itu bagaikan isyarat menunjukkan bahawa negara matahari terbit tersebut bersedia untuk menganjurkan temasya sukan terbesar membabitkan orang kelainan upaya (OKU) itu walaupun dalam kebimbangan ekoran pandemik Covid-19.

Tokyo menjadi bandar raya pertama yang menganjurkan Sukan Paralimpik sebanyak dua kali selepas edisi 1964, pun begitu, pada kali ini temasya berkenaan berlangsung tanpa kehadiran penonton.

BONNIE Bunyau bersama Siti Nooriasah membawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik pada Selasa malam. – Foto Bernama

Temasya kali ini disertai 4,403 atlet daripada 162 negara termasuklah pasukan pelarian mengambil bahagian yang mana jumlah ini disifatkan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa sebagai satu pencapaian mengagumkan.

Pada temasya Sukan Paralimpik kali ini, kontinjen Malaysia yang diketuai Chef de Mission, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menampilkan 22 atlet termasuk empat alet wanita dengan sasaran membawa pulang tiga pingat emas.

“Detik yang dinanti oleh seluruh rakyat Malaysia akhirnya tiba. Majlis Perasmian temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada malam ini menandakan semboyan perjuangan atlet bermula.

‘”(Para atlet negara) Kelihatan seperti pahlawan Melayu pada malam ini apabila menyarung busana traditional Melayu rona merah kuning, bertanjak untuk lelaki. Doakan dipermudahkan urusan kami dan pohon kejayaan dibawa pulang,” kata Megat dalam hantaran Facebook rasmi beliau.

SERAMAI 10 orang mewakili kontinjen negara dalam perbarisan tersebut, dengan giliran Malaysia yang ke-139 memasukinya di Stadium Olimpik, Tokyo. – IHSAN MPM

Bertemakan ‘We Have Wings’, majlis dimulakan dengan penuh bergaya di atas pentas mirip seperti lapangan terbang, melambangkan venue di mana kesemua atlet  boleh bertemu di bawah satu hab diikuti dengan pelbagai persembahan tarian sebelum percikan bunga air menyinari langit di sekitar stadium tersebut.

Seperti Sukan Olimpik, Maharaja Naruhito merasmikan upacara penuh gilang gemilang itu bagi menandakan bermulanya temasya itu.

Upacara menyalakan Kawah Obor Olimpik Tokyo 2020 itu pula telah disempurnakan bintang tenis Jepun, Naomi Osaka diserahkan kepadanya oleh kumpulan enam kanak-kanak berasal dari Fukushima yang dilanda tsunami dan tragedi nuklear pada 2011.

NAOMI menyalakan Kawah Obor Olimpik menggunakan obor pada upacara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo 2020, malam ini. – MEDIA SOSIAL

Dalam upacara pembukaan tersebut, penghormatan telah diberikan kepada jaguh powerlifting, Bonnie Bunyau dan atlet olahraga wanita negara, Siti Nooriasah Mohamad Ariffin sebagai pembawa Jalur Gemilang.

Perarakan masuk kontinjen negara pada acara berkenaan turut disertai oleh jaguh olahraga, Muhammad Ziyad Zolkefli; pemanah, S Suresh dan atlet tenis berkerusi roda, Abu Samah Borhan.

Terdahulu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah meletakkan sasaran tiga pingat emas buat kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik 2020 iaitu jumlah yang sama dicapai kontinjen negara pada edisi 2016 di Rio de Janiero, Brazil.

Lima atlet iaitu dua atlet olahraga, Mohd Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly selain pemain badmiton para, Cheah Leik Hou; atlet memanah, S Suresh dan atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin antara yang dilihat berpotensi bagi merealisasikan sasaran berkenaan di Tokyo.

Untuk rekod, pada edisi Rio 2016, kontinjen para negara berjaya membawa pulang tiga emas dan satu gangsa.

Emas disumbangkan Ziyad dalam acara lontar peluru (T20/F20), Abdul Latif (lompat jauh T20/F20) dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100 meter T36/F36) manakala gangsa diraih Siti Radiah Ismail (lompat jauh wanita T20/F20). – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here