Polis siar lakaran wajah perompak kedai emas

Polis mengeluarkan satu lakaran wajah dan beberapa imej gambar empat suspek yang disyaki terbabit dalam rompakan di sebuah kedai emas di Kepong, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, lakaran wajah seorang daripada empat suspek itu berdasarkan keterangan saksi, manakala beberapa gambar suspek dan motosikal yang digunakan diambil daripada kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan.

Beliau berkata, dua motosikal yang digunakan dalam rompakan tersebut dikenal pasti jenis Yamaha Y150ZR berwarna hitam dan firus dengan menggunakan nombor plat pendaftaran palsu.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan suspek boleh menyalurkan maklumat berkenaan ke Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Sentul di talian 03-40482206 dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam kejadian itu, suspek yang memakai topeng muka dan bertopi keledar, serta bersenjatakan tukul dan kapak telah memecahkan almari pameran dan melarikan sejumlah barang kemas berupa rantai leher serta gelang tangan bernilai kira-kira RM50,000.