PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Jeneral (B) Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Seth yang meninggal dunia, semalam.
Menerusi catatan terbaharu di laman Facebooknya malam tadi, Perdana Menteri berkata, bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) ketujuh itu telah banyak menabur jasa dan bakti sepanjang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak 1952.
Jasanya cukup terserlah terutama dalam usaha menentang komunis, selain pernah menjadi Penasihat Tentera Malaysia termuda dan pertama ke Indonesia pada 1958.
“Allahyarham, yang dilahirkan pada 4 Februari 1929 di Johor Bahru, Johor, dilantik sebagai Panglima Tentera Darat bagi tempoh lima tahun bermula 1977 hingga 1982, sebelum dilantik sebagai PAT ketujuh (1982-1985).
“Saya mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” katanya.
Mohd Ghazali menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 10 pagi di Hospital Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur akibat komplikasi jangkitan paru-paru. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.