Selepas 30 tahun, bayi model kulit depan album Nevermind saman Nirvana RM9 juta

SELEPAS 30 tahun, bayi yang menjadi model kulit album kumpulan rock terkenal Amerika Syarikat, Nirvana, Spencer Elden memberitahu akan memfailkan saman berjumlah kira-kira RM9 juta terhadap kumpulan berkenaan dengan dakwaan eksploitasi seksual kanak-kanak.

Kulit depan album Nevermind yang cukup terkenal di seluruh dunia itu memaparkan Elden sewaktu dia berusia empat bulan di dalam kolam renang dalam keadaan bogel.

BBC melaporkan Elden yang kini berusia 30 tahun, mendakwa bahawa ibu bapanya pada ketika itu tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian atas penggunaan gambarnya pada album berkenaan.

Tuntutan berkenaan turut mendakwa bahawa Elden tidak bersetuju gambar tersebut digunakan pada album pada ketika itu kerana dia hanya bayi berusia empat bulan.

Elden turut mendakwa Nirvana ketika itu berjanji untuk menutup kemaluannya namun tidak ditunaikan sehingga album tersebut di keluarkan secara rasmi.

Menurut dokumen tersebut, Elden mendakwa Kurt, Dave Grohl dan anggota kumpulan yang lain gagal melindungi dan menghalangnya daripada dieksploitasi secara seksual serta telah menyebabkan dirinya sering dikaitkan dengan eksploitasi seksual komersial sebagai kanak-kanak bawah umur.

Tuntutan itu menamakan anggota kumpulan Nirvana yang masih hidup iaitu Dave Grohl dan Krist Novoselic bersama harta pusaka mendiang Kurt Cobain, syarikat produksi, bekas isteri Kurt serta jurugambar, Kirk Weddle.

Elden menuntut ganti rugi sebanyak 150,000 USD (RM 631,500) ke atas setiap seorang daripada 15 defendan dengan jumlah keseluruhan 2,250,000 USD (kira-kira RM 9,461,250).

Bagaimanapun, perwakilan kepada pihak Nirvana dan label rakaman mereka masih belum memberi maklum balas kepada tuntutan berkenaan.

‘Nevermind’ adalah album kedua kumpulan tersebut yang diterbitkan pada tahun 1991 mengandungi lagu-lagu popular iaitu Smells Like Teen Spirit dan Come as You Are.

Sebanyak 30 juta salinan album berkenaan terjual di seluruh dunia .–SB