SEORANG pensyarah sebuah kolej menjadi mangsa terkini kes penipuan membeli kucing secara atas talian apabila membeli seekor kucing baka British Short Hair menerusi laman sosial Instagram.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, mangsa berminat untuk membuat pembelian setelah melihat iklan kucing berkenaan di satu akaun Instagram pada Isnin.
Katanya, mangsa kemudian berurusan dengan pemilik akaun tersebut melalui aplikasi WhatsApp sebelum bersetuju untuk membeli kucing yang berharga RM398 termasuk dengan kos penghantaran.
“Mangsa kemudian telah membuat pindahan wang ke nombor akaun yang diberikan.
“Selepas pembayaran dibuat, mangsa diminta oleh penjual untuk membayar RM980 bagi urusan Kad ID kucing tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, mangsa diberitahu bahawa kucing tersebut akan ditahan oleh pihak Kastam sekiranya gagal membuat bayaran.
“Mangsa yang rasa ditipu dalam urusan jual beli kucing telah buat laporan polis.
“Sehingga kini mangsa masih belum menerima kucing daripada penjual berkenaan,”ujarnya.
Terdahulu, seorang pekerja swasta di Kuantan, Pahang membuat laporan polis apabila diperdayakan dalam pembelian dua ekor kucing menerusi laman sosial Instagram hingga kerugian RM3,230 semalam.
Wanita berusia 24 tahun itu mendakwa bayaran dibuat bagi membeli kucing baka British Shorthair dan British Longhair, masing-masing diiklankan pada harga RM290 dan RM240.
Mangsa memindahkan wang secara dalam talian ke akaun bank yang diberikan sebanyak empat kali berjumlah RM3,230 yang dikatakan sebagai bayaran kucing dan proses dokumentasi selepas berurusan dengan seorang lelaki menerusi WhasApp.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.