Suspek kes tetak pemilik burung murai serah diri semalam

SEORANG daripada tiga suspek kes tetak pemilik burung murai menyerah diri pada jam 7.30 malam semalam, di Ibu Peiabat Polis Kontinjen (IPK) Kota Bharu, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, suspek yang berumur 35 tahun itu ditahan reman empat hari mulai hari ini selepas permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Bachok, pagi tadi.

“Dua lagi suspek masih diburu dan orang awam yang mengetahui kedudukan mereka diminta memaklumkan kepada balai polis terdekat,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Tiga suspek tersebut menjadi buruan polis apabila terbabit dalam kes menetak mangsa, Mohd Roslaidi Arifin, 42, dalam kejadian di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Yunus, Kampung Pauh Jabit, Tawang, jam 4 petang, Ahad lalu.

Menurut Ismail Jamaluddin, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera parah menggunakan senjata.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut selepas ditetak sebilah golok dan pedang mengakibatkan putus ibu jari kanan, luka bahagian atas kepala, betis kanan dan lutut kiri.