Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Pengguna air di Kuala Nerus, Kuala Terengganu kembali 'merana' -

Pengguna air di Kuala Nerus, Kuala Terengganu kembali ‘merana’

Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

TIDAK sampai dua minggu penduduk di beberapa kawasan Kuala Nerus dan Kuala Terengganu menarik nafas lega, kini mereka kembali ‘merana’ apabila terpaksa berhadapan semula dengan gangguan bekalan air berikutan paip di dasar Sungai Terengganu dilaporkan pecah selepas 10 hari siap dibaiki.

Ekoran paip bersaiz 1,200 milimeter (mm) di dasar Sungai Tere pecah lagi, menyebabkan penduduk di kawasan terbabit terus berada dalam kebuntuan.

Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) dalam satu kenyataan memaklumkan, masalah tersebut dikesan berlaku di paip yang sama tetapi lokasi berlainan daripada kejadian terdahulu.

Menurut kenyataan itu, paip tersebut membekalkan air ke tangki utama Berangan dari loji Kepong untuk kegunaan penduduk di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

“Ekoran itu, seramai 28,700 pengguna di dua daerah tersebut akan mengalami gangguan bekalan air,” kata kenyataan itu kepada media.

Berikutan itu, sebanyak 25 kawasan di Kuala Nerus dijangka terjejas iaitu melibatkan Gong Badak, kawasan perindustrian Gong Badak, Alor Jambu, Tok Jembal, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Turut terlibat ialah Tepoh, Padang Hangus, Pagar Ubi, Bukit Sudu, Bukit Jong, Sungai Ikan, Gemuruh, Ladang Sentosa, Padang Nenas, Lingai, Bukit Wan, Maras, Bukit Berangan, Batu Rakit, Alur Damak, Pagar Besi, Mengabang Telipot, Mengabang Telong dan Wakaf Tengah.

Sementara daerah Kuala Terengganu pula, gangguan membabitkan 11 kawasan iaitu Buluh Gading Masjid, Buluh Gading Dewan, Kampung Banggol Tuan Muda, Petai Bubus, Paya Datu, Jeram, sebahagian Banggol Peradong, Kampung Manir, Kampung Tualang, Kampung Kebor Air dan Kampung Telok Menara.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Terengganu, Dr. Mamad Puteh memberitahu, SATU mula mengesan tekanan air rendah di jajaran paip ke Tangki Utama Berangan yang berada di paras tidak normal sejak semalam.

Sehingga ini katanya, pasukan teknikal SATU sedang giat melakukan kerja-kerja pengesanan di dasar sungai dengan menggunakan khidmat enam penyelam bagi mengetahui punca sebenar di jajaran paip tersebut.

“Sebarang perincian nengenai kerosakan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Kami memohon pengguna di kawasan terlibat agar bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan,” ujarnya.

Menurut Dr. Mamad, SATU juga telah menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori tangki hari ini, mengikut jadual sama ketika gangguan bekalan air sebelum ini.

Selain itu katanya, tangki-tangki statik akan mula ditempatkan di kawasan terlibat.

Krisis gangguan bekalan air di dua daerah terbabit berlaku pertama kali pada 2 Ogos lalu berpunca daripada pam bersaiz 1,200 milimeter pecah di dasar Sungai Terengganu.

Krisis air itu membabitkan 28,700 akaun pengguna di sekitar Kuala Nerus dan sebahagian Kuala Terengganu.

Bekalan air bersih kembali pulih secara berperingkat pada 13 Ogos lalu. – SB