Pasangan suami isteri buat ‘eksperimen sosial’ ditahan polis

TINDAKAN sepasang suami isteri melakukan ‘eksperimen sosial’ dengan memasuki beberapa kedai serbaneka dan dine-in di restoran meskipun belum melengkapkan dua dos vaksin akhirnya membawa padah apabila mereka ditangkap polis di Klang, Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Selangor, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, penahanan pasangan suami isteri berusia 35 dan 36 tahun itu dilakukan pukul 5 petang semalam di rumah mereka di Bandar Putera 2.

Menurut beliau, penahanan dibuat susulan pihaknya menerima aduan berhubung penularan perkongsian di media sosial pemilik akaun bernama Mujaheeda Soleha yang memuat naik kenyataan tentang ekperimen sosial mereka.

“Pemilik akaun juga turut memuat naik kenyataan yang telah mendatangkan ketakutan dan kegentaran kepada orang awam.

“Kedua-dua mereka kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil polis,” katanya menurut laporan Kosmo.

Tambah Shamsul Amar, kes disiasat mengikut Seksyen 269 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan selain Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi Malaysia.

Bagaimanapun, beliau turut menegaskan sebagai usaha bersama untuk membendung penularan wabak Covid-19, orang ramai diminta agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam menjalani kehidupan harian.

Semalam, satu tangkap layar perkongsian tersebut tular di laman sosial dilihat wanita berkenaan dengan bangga menceritakan kejayaannya dan suami pergi ke beberapa premis termasuk kedai makan tanpa sebarang masalah.

Bagaimanapun, selepas kisah itu mula tersebar di media sosial, perkongsian itu tidak dapat diakses selepas wanita itu dipercayai menukarkan status kepada mod peribadi.