Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kadar kebolehjangkitan Covid-19 menunjukkan penurunan -

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 menunjukkan penurunan

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KADAR kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 mula menunjukkan trend penurunan sejak semalam iaitu 1.03 dengan 19,807 kes direkodkan selepas berada pada tahap statik pada 1.04 sejak Rabu hingga Ahad lalu.

Menerusi perkongsian dalam Twitter Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, berdasarkan pecahan negeri, Sarawak merekodkan Rt tertinggi iaitu 1.26 diikuti Perlis 1.25 dan Sabah 1.19.

Bagaimanapun, bagi negeri yang sering dikaitkan dengan jumlah kes COVID-19 tertinggi iaitu Selangor dan Kuala Lumpur merekodkan Rt terendah iaitu 0.90 bagi Kuala Lumpur dan 0.96 (Selangor).

Bacaan Rt di negeri lain ialah Pulau Pinang (1.14); Johor (1.05); Kelantan (1.10); Melaka (1.05); Putrajaya (0.81); Negeri Sembilan (0.85); Kedah (1.08); Pahang (1.01); Perak (1.06); Terengganu (1.03).

Labuan pula tidak merekodkan Rt dengan hanya tujuh kes direkodkan semalam.

Dalam tempoh dua bulan, jumlah Rt tertinggi yang pernah direkodkan negara ialah 1.16 pada 28 Julai lalu.

Berdasarkan Model Pembendungan Risiko, Pendedahan dan Jangkitan (SEIR) Unjuran dan Pemerhatian Kes Harian COVID-19 yang dikongsi Dr Noor Hisham, Rt boleh melonjak melebihi 1.2 dengan kes mencecah 22,000 jika berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Mengikut rekod Kementerian Kesihatan (KKM), Rt terendah pernah dicatatkan pada 0.81 pada 3 Mac lalu.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti daripada satu kes positif.

Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, itu bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain. – SB