PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini bersetuju memilih pengamal perubatan Dr. Wan Martina Wan Yusoff sebagai Ahli Dewan Negara bagi mewakili negeri berkenaan.
Pelantikan itu bagi menggantikan Asmak Husin yang telah tamat tempoh perkhidmatan.
Pencalonan beliau dikemukakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob selepas Speaker Datuk Abdullah Ya’kub mengumumkan usul Pemilihan Ahli Dewan Negara susulan titah Sultan Kelantan Sultan Muhammad V melalui pemakluman surat kepada Abdullah pada 20 Mei lepas.
“Baginda menitahkan bahawa DUN ini perlu membuat pemilihan melantik seorang Ahli Dewan Negara bagi mewakili Dewan Negeri ini yang dikosongkan berikutan tamat tempoh jawatan Ahli Dewan Negara (Asmak Husin), 30 Jun lepas.
“Pemilihan ini selaras dengan Peruntukan Bahagian 1 (2) Jadual Ke-7 dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Abdullah pada Sidang DUN berkenaan, di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan seperti yang dilaporkan Bernama hari ini.
Dr. Wan Martina merupakan Timbalan Pengerusi Persatuan Misi Kembara Dakwah (MKD) dan juga Naib Pengerusi Konfederasi NGO Negeri Kelantan dan turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Persatuan Wanita Sejahtera Kelantan Wanis. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.