ANTARA kriteria yang perlu diambil sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat pertimbangan untuk melantik ahli Kabinet beliau adalah berdasarkan prestasi mereka semasa menjadi ahli Kabinet di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Penganalisis politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abdul Muis berkata, Ismail Sabri perlu menilai prestasi ahli-ahli Kabinet di bawah pimpinan Muhyiddin dalam usaha untuk melantik ahli Kabinet beliau bagi mewujudkan satu komposisi Kabinet yang kukuh.
Katanya, beliau berpandangan terdapat dua cara yang boleh diguna pakai oleh Ismail Sabri dalam mewujudkan kabinet beliau.
“Cara yang pertama adalah dengan melakukan penilaian prestasi semasa semua ahli parlimen yang ada terutamanya pemimpin kabinet atau menteri kabinet di bawah pimpinan Muhyiddin.
“Yang kedua, barangkali beliau boleh mempertimbangkan untuk melantik individu-individu profesional yang mempunyai kebolehan dan kekuatan atau mungkin ada jaringan antarabangsa yang mantap. Mereka yang mempunyai reputasi dan kredibiliti yang tinggi ini boleh dilantik untuk menjadi senator dan seterusnya menganggotai barisan Kabinet.
“Tapi saya rasa, mungkin jumlah itu tidak besar, barangkali satu, dua orang boleh dipertimbangkan,” katanya ketika dihubungi Satu Berita hari ini.
Mengulas lanjut, Mujibu berpandangan bahawa agak sukar untuk Ismail Sabri menyerap masuk pihak pembangkang ke dalam Kabinetnya kerana perkara itu akan menyusahkan beliau serta menggoyahkan kekukuhan parti Perikatan Nasional.
“Cuma kredit perlu diberikan apabila beliau bersetuju untuk memanjangkan kerjasama bersama pihak pembangkang, ini antara langkah yang terbaik buat beliau.
“Jadi saya berpandapat, kalau Kabinet itu boleh dikecilkan, mungkin beliau boleh memperkasakan jawatan kuasa ini dengan melibat uruskan pembangkang, dan menjadikan ini platform yang terbaik dalam mengeluarkan dasar atau keputusan yang lebih telus dan menampakkan kebersamaan. Kabinet yang ada jadi pelaksana sahaja,” tambahnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid ketika menyampaikan ucapan perdana, semalam.
Mujibu berkata, terpulang kepada pihak pembangkang untuk menyambut pelawaan tersebut atau tidak.
“Sebagai rakyat saya mahu pelawaan ini diambil. Mungkin perkara ini satu langkah yang baik kepada reformasi institusi terhadap pembudayaan bahawa pihak pembangkang bukanlah musuh abadi tetapi satu musuh yang disaingi secara professional yang mana diakhir nanti kita akan melahirkan satu suasana politik yang lebih matang dan lebih progresif.
“Jadi, istilah politik ‘yang kalah, kalah semua, yang menang ambil semua’ tidak lagi berlaku dalam politik negara pada masa akan datang,” katanya. -SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.