TENTERA Darat Malaysia (TDM) hari ini mengesahkan seorang anggotanya diberhentikan kerja kerana menolak pengambilan vaksin Covid-19.
Dalam kenyataan media, TDM berkata, tindakan itu adalah susulan arahan setiap anggotanya wajib mengambil suntikan itu, terutama sebelum melaksanakan penugasan.
Sehubungan itu, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar perintah ditetapkan.
Bagaimanapun, katanya, ia terkecuali kepada anggota tergolong dalam kumpulan tidak layak untuk menerima vaksin.
“Pengambilan vaksin dalam kalangan anggota TDM diwajibkan atas dasar mereka hidup secara berkelompok.
“Selain itu, peranan dan tanggungjawab TDM kini sebagai petugas barisan hadapan dalam melaksanakan penugasan mahupun latihan turut berdepan kebolehjangkitan COVID-19.
“Sehubungan itu, adalah wajar untuk semua anggota TDM mengambil vaksin bagi mengekang penularan yang bukan sahaja akan berlaku dalam kalangan mereka, bahkan boleh menjangkiti keluarga dan masyarakat keseluruhannya,” katanya.
Terdahulu, sebuah portal melaporkan anggota tentera dikenali Sarjan Wan Ramly Wan Seman mendakwa perkhidmatannya hampir 20 tahun ditamatkan berkuat kuasa Khamis ini, selepas ingkar arahan untuk mengambil vaksin.
Wan Ramly, 39, daripada Batalion ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Rasah, Negeri Sembilan dikatakan akan kehilangan pencen yang sepatutnya diterima 16 bulan lagi.
Anggota itu turut mendakwa setiap rakyat mempunyai hak untuk tidak mengambil vaksin dan berkhidmat sebagai tentera tidak menjadikan beliau berbeza dengan individu lain.
TDM berkata, pengambilan vaksin turut mendukung hasrat dan aspirasi kerajaan mencapai imuniti kelompok, sekali gus memutuskan rangkaian penularan COVID-19 di negara ini.
“Setiap anggota TDM perlu mematuhi dan menuruti perintah dikeluarkan bagi menentukan misi serta kesiapsiagaan organisasi tercapai,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.