PM tinjau kawasan bencana kepala air, banjir lumpur

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluangkan masa hampir sejam meninjau tempat tragedi kepala air dan banjir lumpur, di Tupah, Merbok hari ini.

Ismail Sabri yang tiba jam 12.15 tengah hari tadi, diiringi Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor.

Sejurus tiba, Ismai Sabri meninjau Jambatan Tupah yang rosak akibat dihentam balak hanyut Rabu lalu, dan diberi penerangan berkaitan bencana kepala air di kawasan Kuala Muda.

Beliau kemudian meluangkan masa menziarah beberapa penduduk Taman Lembah Merbok yang terjejas akibat bencana itu dan memberikan sumbangan.

Perdana Menteri kemudian meninjau Loji Rawatan Air (LRA) Tupah dan dijadual ke kawasan bencana di Yan.

Ini lawatan rasmi beliau yang pertama selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kelmarin.