Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
130 'Ismail' serbu dapatkan patin tempoyak percuma -

130 ‘Ismail’ serbu dapatkan patin tempoyak percuma

SEJAK Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik secara rasmi sebagai Perdana Menteri yang kesembilan, pelbagai reaksi positif yang dilontarkan seluruh masyarakat Malaysia, termasuklah ahli politik dan rakyat jelata.

Restoran Temerloh Catering Seksyen 15, Shah Alam, Selangor turut tidak melepaskan peluang untuk meraikan pelantikan itu apabila menawarkan hidangan ikan patin tempoyak secara percuma kepada pelanggan yang bernama Ismail.


Menerusi satu hantaran di Facebook rasmi mereka semalam, mereka menetapkan syarat tawaran itu khas kepada sesiapa sahaja bernama Ismail, bin atau binti Ismail, dan alamat rumah mempunyai perkataan nama itu dan promosi hidangan itu hanya terhad kepada 100 orang pertama sahaja.

Menurut pemilik restoran berkenaan, Khairul Izawandy Abdul Jazam, 41, tawaran hidangan ikan patin tempoyak secara percuma kepada ‘Ismail’ itu mendapat sambutan yang luar biasa sehingga mereka didatangi lebih 130 orang yang mempunyai nama ‘Ismail’ di dalam kad pengenalan mereka.

Sehubungan itu, mereka sekali lagi menawarkan hidangan ikan patin tempoyak secara percuma untuk hari ini kepada mereka yang mempunyai nama ‘Ismail’ namun bezanya ialah jumlah 100 orang pertama ditingkatkan kepada 114 orang.

Khairul menjelaskan, dia bersama pasukannya mendapat idea untuk memberikan hidangan ikan patin tempoyak itu adalah kerana Ismail Sabri berasal dari Temerloh, Pahang.

“Kami sebenarnya tidak merancang perkara ini. Kebetulan PM baharu kita berasal dari Temerloh, restoran kami juga dinamakan Temerloh Catering dan saya juga orang Temerloh, saya rasa ia sesuai untuk raikan pelantikan Ismail Sabri sebagai PM serta orang-orang yang mempunyai nama yang sama dengan beliau.

“Kami ambil keputusan untuk beri hidangan Ikan Patin Tempoyak kerana hidangan tersebut sangat terkenal di Temerloh,” katanya ketika dihubungi Satu Berita.

Khairul berkata, mereka sekali lagi membuka tawaran tersebut setelah mendapati masih ramai ‘Ismail’ yang belum mendapatkan hidangan ikan patin tempoyak percuma itu.

“Disebabkan masih ramai orang yang bertanya kepada kami menerusi WhatsApp dan Facebook, jadi kami nampak masih ramai Ismail tak dapat hidangan tersebut. Jadi kami sekali lagi buka tawaran itu untuk 114 orang yang pertama.

“Angka 114 orang itu adalah simbolik kepada jumlah kepercayaan majoriti kepada Ismail Sabri untuk dilantik sebagai Perdana Menteri,” ujarnya.

Difahamkan, tawaran tersebut sekali lagi mendapat sambutan yang baik sehingga setakat ini, lebih separuh daripada 114 hidangan ikan patin tempoyak diberi kepada ‘Ismail’.

Menurut Khairul lagi, Restoran Temerloh Catering mempunyai enam cawangan dan tawaran itu dibuka khusus di cawangan Seksyen 15, Shah Alam sahaja.

Khairul menambah, perkara ini diharapkan dapat menjadi satu mesej sokongan mereka kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baharu sekaligus meraikan mereka yang mempunyai nama yang sama dengan beliau dengan memberikan makanan yang asli daripada kampung beliau sendiri. -SB