SEORANG lelaki yang dikenali sebagai ‘Mat Jan’ sedang dikesan oleh Jabatan Perhutanan Kedah (JPNK) kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pembalakan haram di Kompartmen 4, Hutan Simpan Gunung Inas, Baling yang membabitkan kerugian kira-kira RM300,000 sejak seminggu lalu.
Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Muhammad Abdullah, lelaki terbabit dipercayai mengupah beberapa lelaki lain bagi menebang pokok balak di kawasan hutan seluas lima hektar berkenaan.
Beliau berkata, pasukan anggota JPNK yang bertugas mengesan terdapat kegiatan pembalakan haram dikawasan terbabit kira-kira jam 2 petang setelah mandapat maklumat awam pada jam 11 pagi.
“Apabila tiba di lokasi, terdapat dua lelaki berusia 40-an sedang melakukan kerja menebang pokok dan menarik kayu di dalam hutan simpan, namun mereka melarikan diri ke dalam hutan.
“Mereka turut disyaki membina jalan sepanjang dua kilometer (km) untuk memindahkan balak yang dilakukan pada waktu malam dan awal pagi bagi mengelak dihidu pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini seperti dilaporkan Harian Metro.
Muhammad berkata, anggotanya menemui kesan tebangan pokok, jentolak, mesin gergaji, motosikal serta tujuh batang balak yang baru ditebang antaranya jenis balau, gerutu, merbau, pulai dan medang.
Beliau menambah, anggotanya turut menemui sebuah jentolak yang diguna untuk pembalakan di ladang kelapa sawit berhampiran berikutan terdapat kesan laluan ke lokasi pembalakan.
“Dari maklumat awam kerja pembalakan haram ini dilakukan individu tempatan dikenali sebagai ‘Mat Jan’ yang berasal dari Kupang, Baling. Kita masih menyiasat sama ada kegiatan ini membabitkan sindiket atau persendirian.
“Satu laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Kupang untuk siasatan dan tindakan lanjut oleh JPNK,” katanya.
Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun.
Menurutnya lagi, semua barang rampasan dan sitaan dibawa keluar dan dihantar ke stor Pejabat Hutan Renjer Jenian, Kuala Muda.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.