Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Lee Hsien Loong ucap tahniah, pelawa Ismail Sabri lawat Singapura -

Lee Hsien Loong ucap tahniah, pelawa Ismail Sabri lawat Singapura

PERDANA Menteri Singapura Lee Hsien Loong hari ini mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Luar Singapura memaklumkan Lee telah menghubungi Ismail Sabri menerusi telefon pagi ini.

Kedua-dua pemimpin itu turut mengulangi mengenai hubungan kerjasama yang mendalam antara Singapura dan Malaysia serta berharap dapat bekerjasama menghadapi cabaran termasuk pandemik COVID-19.

Sementara itu, dalam perutusan tahniah kepada Ismail Sabri, Lee mengundang rakan sejawatannya itu untuk mengadakan lawatan rasmi ke Singapura.

“Saya yakin bahawa hubungan kita akan terus kukuh. Saya berharap dapat bertemu dengan anda tidak lama lagi dan meningkatkan lagi kerjasama untuk kepentingan bersama.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mempelawa anda mengadakan lawatan rasmi ke Singapura untuk kita berbincang bagaimana kita dapat bekerjasama antara satu sama lain dan mengeratkan lagi hubungan persahabatan,” tulis Lee.

Lee turut yakin Malaysia akan terus maju di bawah kepimpinan Ismail Sabri.

“Kita miliki banyak persamaan dan rakyat kedua-dua negara juga mempunyai hubungan yang erat. Selama bertahun-tahun, Singapura telah bekerjasama rapat dengan pemerintah Malaysia untuk menghadapi cabaran bersama termasuk pandemik.

“Anda telah memberikan sumbangan yang penting dalam memperkuat kerjasama dua hala, termasuk mempengerusikan bersama Jawatankuasa Kerja Khas Malaysia-Singapura-Malaysia mengenai COVID-19,” kata Lee.

Lee dan isteri Ho Ching juga berharap Ismail Sabri dan isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin dikurniakan kesihatan yang baik serta ceria selalu.

Ahli Parlimen Bera itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Sabtu (21 Ogos).- BERNAMA