Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Terima kasih Tuanku, terima kasih semua: Ismail Sabri -

Terima kasih Tuanku, terima kasih semua: Ismail Sabri

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan baginda melantiknya sebagai perdana menteri kesembilan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pemimpin parti politik, termasuk Ahli Parlimen bebas yang menyokongnya untuk memimpin negara.

“Saya syukur kepada Allah dan izin-Nya, saya dilantik sebagai perdana menteri…

“Ucapan terima kasih juga saya ucapkan kepada rakan-rakan Ahli Parlimen termasuk bebas dan ketua-ketua parti politik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar pekarangan kediamannya di Petaling Jaya, Selangor, hari ini.

Naib Presiden UMNO itu juga merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan majlis tertinggi parti itu atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.

Sementara itu, beliau juga memaklumkan akan membuat kenyataan rasmi kepada rakyat Malaysia esok, susulan pelantikannya sebagai pemimpin nombor satu negara.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera, Pahang selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri di hadapan Al-Sultan Abdullah di Istana Negara pada jam 2.28 petang ini.

Perlantikan Ismail Sabri ini dilihat sebagai tanda berakhirnya kemelut politik negara selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan pada 16 Ogos lalu selepas kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Serentak itu, kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibubarkan. Semua jemaah menteri meletak jawatan termasuk Ismail Sabri yang baru dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, kira-kira 45 hari lalu.

Ismail Sabri kemudiannya berjaya meraih sokongan 114 Ahli Dewan Rakyat melalui surat akuan (SD) untuk mengumpul majoriti mudah membentuk kerajaan, sekaligus mengenepikan pencabar dari blok pembangkang yang mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.