PEMILIHAN Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan amat tepat ketika negara berhadapan krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19.
Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) GPS & PBB, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ini kerana beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam pentadbiran negara termasuk menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini.
Sehubungan itu, (GPS) menjunjung kasih keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan melantik Ismail sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Malah, katanya keupayaan Ismail juga terbukti ketika menjawat jawatan sebagai Menteri Kanan Pertahanan
(Kluster Keselamatan) yang mengendalikan isu berkaitan COVID-19 secara langsung selama hampir 17
bulan.
Selain itu, beliau pernah menjawat beberapa jawatan menteri sejak 2008 lagi termasuk Menteri Belia dan Sukan; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
“Saya sendiri pernah bekerja bersamanya ketika beliau menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sebagai timbalannya dan secara peribadi saya amat mengagumi kepimpinan beliau.
“Beliau juga sangat dekat serta mesra dengan masyarakat di semua peringkat di bandar dan luar bandar,
termasuk penduduk di Sarawak,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya Ismail Sabri pernah mengadakan lawatan ke Sarawak beberapa kali termasuk di Kapit pada 2010.
“Ketika itu, saya melihat bagaimana beliau tidak kekok mendekati rakyat di Kapit dan kelihatan selesa
bermalam serta melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti di sana, termasuk program kemasyarakatan yang
diadakan di Dewan Suarah, Kapit.
“Jadi, GPS berharap, semua pihak termasuk pembangkang mengambil sikap berlapang dada dengan
pelantikan beliau. Kita harus mengenepikan segala perbezaan dan bersama-sama memberi tumpuan kepada isu lebih utama iaitu kebajikan, kesejahteraan dan keselamatan rakyat selain pemulihan ekonomi negara akibat Covid-19,” katanya.
GPS percaya dengan kemampuan Ismail Sabri untuk menerajui negara menuju ke arah pemulihan, seterusnya keluar daripada krisis yang sedang melanda. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.