TUANKU Raja Noor Jan Shah yang pernah mengakui dirinya sebagai Sultan Melaka telah meninggal dunia hari ini akibat Covid-19.
Berita menyayatkan hati itu dimuatnaik oleh Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah di Facebook, sebentar tadi.
“Assalamualaikum. Dukacitanya dimaklumkan bahawa Tuanku Raja NoorJan Shah telah kembali ke Rahmatullah sebentar tadi di Hospital Selayang.
“Salam takziah buat mak engku Tuanku Zaidatul Mardiah Yussuf serta seluruh ahli keluarga dan kerabat,” katanya.
Noor Jan Shah, 64, sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila mendakwa dirinya merupakan Sultan Melaka.
Malah pada 2019, Allahyarham pernah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan menyamar sebagai Sultan Melaka.
Pada 2016, Noor Jan dilaporkan memberikan anugerah laksana seperti seorang raja yang sah sedangkan kerajaan Melaka sejak awal lagi menafikan beliau pewaris takhta kesultanan negeri.
Bagaimanapun, Allahyarham dibebaskan daripada pertuduhan tersebut berikutan kegagalan pihak pendakwaan menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.