Polis geledah rumah Ebit Lew

SUSULAN siasatan kes gangguan seksual ke atas pendakwah terkenal, Ebit Lew, pihak polis telah menjalankan satu operasi penggeledahan di rumah beliau atau nama sebenarnya Ebit Irawan bin Ibrahim Lew.

Menurut Pengarah Jabatan Siatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Shah, operasi berkenaan dijalankan bagi tujuan siasatan terhadap kes berkenaan.

Abdul Jalil dalam masa sama menafikan operasi berkenaan merupakan satu serbuan terhadap rumah pendakwah selebriti terbabit.

Bagaimanpun, masih belum dapat dipastikan sama ada terdapat rampasan barangan bagi melengkapkan siasatan setakat ini.

Desas-desus mengenai pembabitan Ebit dalam kes ini bermula apabila tular satu video mirip dengan pendakwah berkenaan melakukan amang seksual.

Video yang tular pada awal Julai lepas itu dimuatnaikkan di laman Twitter seorang individu yang menyembunyikan identitinya.

Bagaimanapun, ciapan dan akaun twitter berkenaan dipadamkan sehari selepas video berkenaan dimuatnaikkan.

Dalam pada itu, Abd Jalil dalam kenyataan petang semalam mengesahkan bahawa polis merakam keterangan pendakwah tersebut bagi membantu siasatan berhubung kes gangguan seksual.

Katanya, Ebit Lew dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes gangguan seksual yang disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Siasatan akan diteruskan sehingga pihak polis berpuas hati untuk merujuk kes ini kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapat nasihat dan arahan lanjut.

“Polis memohon kepada semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan provokasi bagi memastikan kes ini dapat disiasat dengan telus,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau juga menasihati orang ramai untuk tidak membuat penyebaran apa juga bahan yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis. -SB