RAJA-RAJA Melayu dijadual mengadakan pertemuan di Istana Negara hari ini bagi membincangkan isu semasa negara, khususnya berkaitan dengan pelantikan Perdana Menteri Malaysia kesembilan.
Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu itu dijadual bermula 2.30 petang, dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurut laporan Bernama, tumpuan dijangka terarah kepada perbincangan bagi melantik seorang Ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai perdana menteri selaras dengan Perkara 43(2)(a), Perlembagaan Persekutuan.
Ia berikutan keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 16 Ogos lepas.
Semalam, sesi menghadap Al-Sultan Abdullah berlangsung secara berperingkat membabitkan 114 Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Ahli Parlimen Bebas.
Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya setakat semalam tidak menerima panggilan menghadap Agong.
Pada sesi menghadap itu, Yang di-Pertuan Agong mendengar sendiri Ahli Parlimen yang secara bergilir-gilir menyembah maklum secara lisan sokongan kepada calon perdana menteri, dan mengesahkan akuan bersumpah (SD) menamakan seorang calon perdana menteri yang dihantar ke Istana Negara Rabu lepas.
Berdasarkan kenyataan parti-parti utama dan Ahli Parlimen sehingga semalam, nama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan calon Perdana Menteri bagi menggantikan Muhyiddin, manakala PH kekal mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.