Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Dua anggota Abu Sayyaf mati ditembak -

Dua anggota Abu Sayyaf mati ditembak

POLIS berjaya menembak mati dua anggota Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) yang merancang untuk menculik pemilik sebuah ladang kelapa sawit untuk mendapatkan wang tebusan di Pulau Timbang, Sandakan, Sabah awal pagi tadi.

Menurut, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali pihaknya bertindak selepas mendapat maklumat daripada ketua kumpulan kecil Abu Sayyaf, Sansibar Bencio yang ditahan di Taman Sri Arjuna, Beaufort pada Mei lepas.

Hazani berkata, dua anggota militan yang maut itu dikenali sebagai Rakim Landasan dan Alnasir Landasan berumur antara 30 dan 40 tahun, ditembak mati kira-kira 5 pagi dalam kejadian berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan di ladang berkenaan.

“Operasi ini dilancarkan selepas Bencio mendedahkan bahawa dia telah mengarahkan dua anggota yang ditembak itu untuk menculik dua pemilik ladang kelapa sawit berketurunan Cina yang tinggal di Sandakan dan Sukau (Kinabatangan) untuk mendapatkan wang tebusan.

“Tindakan itu bagi memberi dana kepada kumpulan di markas timur Sulu di Kompleks Bud Bawis, Panamao, Sulu, Selatan Filipina,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tambah beliau, operasi itu adalah susulan daripada serbuan di ladang terbabit pada Rabu, yang membawa kepada tangkapan 11 lelaki, tujuh daripadanya disahkan oleh pihak berkuasa Filipina sebagai anggota Abu Sayyaf.

Hazani turut memaklumkan, sepucuk pistol A Colt .45, yang biasa digunakan di Filipina dan sebilah parang ditemukan bersama pengganas yang maut itu.

Jelas beliau lagi, operasi itu dijalankan dengan bantuan antaranya pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). – SB