YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan rasa dukacita terhadap tragedi banjir susulan fenomena kepala air berlaku di sekitar kawasan Gunung Jerai di Yan, Kedah, yang meragut empat nyawa setakat ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata, Seri Baginda turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga empat mangsa terbabit dan berharap seluruh keluarga bersabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu.
“Seri Paduka turut menzahirkan harapan dan berdoa agar tiga lagi mangsa yang dipercayai masih hilang di satu kawasan di Titi Hayun dapat ditemukan dan diselamatkan dengan segera,” kata Ahmad Fadil.
Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah turut merakamkan setinggi penghargaan kepada semua anggota agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa, termasuk penduduk terjejas akibat banjir berkenaan.
Hujan lebat pada Rabu lalu menyebabkan berlakunya banjir dan fenomena kepada air yang mengakibatkan kerosakan ke atas 800 rumah di sekitar Yan dan 200 rumah di Tupah, Kuala Muda. Sehingga semalam, empat mangsa ditemukan maut, seorang cedera dan dua masih hilang.
Baginda turut menasihati penduduk di kawasan terbabit supaya sentiasa berjaga-jaga dan mengutamakan keselamatan diri dan keluarga serta berpindah ke pusat pemindahan dengan segera sekiranya diarahkan berbuat demikian oleh pihak berkuasa tempatan. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.