Sokongan PN terhadap Ismail Sabri bersyarat, kata Muhyiddin

0
449

SOKONGAN yang diberikan oleh Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri yang baharu adalah bersyarat.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sokongan bersyarat itu adalah selaras dengan prinsip gabungan politik tersebut untuk mempertahankan kerajaan yang berintegriti.

“Sekiranya dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, beliau hendaklah memastikan Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti adalah terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

“Kerajaan PN di bawah pimpinan beliau juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau yang juga Perdana Menteri sementara mengesahkan bahawa PN telah sebulat suara bersetuju untuk mencalonkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri kerajaan PN yang baharu.

Muhyiddin berkata, semua 50 Ahli Parlimen dari parti-parti gabungan PN iaitu 31 Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), 18 Ahli Parlimen PAS dan 1 Ahli Parlimen STAR telah menyerahkan akuan bersumpah menyokong pencalonan Ismail Sabri ke Istana Negara semalam.

Menurut beliau, seramai empat Ahli Parlimen bebas yang menyokong PN juga telah berbuat demikian.

“Saya juga telah berunding dengan pimpinan parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan PBS yang membentuk kerajaan PN sebelum ini untuk mengambil ketetapan yang sama.

“Keputusan ini dibuat demi menjamin kesinambungan dasar-dasar kerajaan PN yang sedang menumpukan kepada usaha memerangi COVID-19 dan memulihkan negara sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya umum bagi mengembalikan mandat rakyat.

“Keputusan ini juga bermakna PN lebih mengutamakan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat berbanding politik dendam dalam persaingan merebut kuasa.

“Apabila berhadapan dengan situasi krisis, ahli politik mesti berjiwa besar demi kepentingan rakyat dan negara,” jelasnya.

Muhyiddin berharap agar proses pelantikan Perdana Menteri yang baharu dapat berjalan lancar dan dimuktamadkan dalam masa terdekat menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

“Selaku Pengerusi PN, saya akan meneruskan khidmat bakti kepada rakyat dan mempersiapkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 apabila tiba masanya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here