SETAKAT ini tiada jemputan, demikian diberitahu seorang ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan merujuk jemputan daripada pihak Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Beliau yang enggan identiti didedahkan berkata, setakat ini beliau yakin PH telah mendapat sokongan sebanyak 105 ahli Parlimen bagi menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan Istana Negara telah memanggil parti-parti yang memenangi perlumbaan membentuk kerajaan baharu untuk mengesahkan sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri baharu pada Khamis.
Pengesahan itu disampaikan Ahli Parlimen Pontian itu melalui mesej kiriman WhatsApp.
Difahamkan pertemuan hari ini akan diadakan secara kumpulan bermula dengan kumpulan ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) pukul 10 pagi, Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) 11 pagi, UMNO dan BN 2 petang dan PAS 4 petang.
Malam tadi tular mesej menerusi Whatsapp mendakwa ahli-ahli Parlimen UMNO akan berkonvoi dari Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur menuju Istana Negara.
Ia kemudiannya disusuli mesej senarai ahli-ahli Parlimen yang didakwa telah menghantar surat akuan menyokong Ismail Sabri.
Istana Negara sebelum ini telah memberikan tempoh masa sehingga 4 petang, Rabu kepada ahli-ahli Parlimen menghantar surat akuan menyatakan nama calon Perdana Menteri pilihan masing-masing. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.