AKTIVITI ‘dine-in’ atau makan di restoran dibenarkan kepada individu yang lengkap divaksin di negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa esok.
Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan tambahan itu antara yang diputuskan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), hari ini.
Beliau berkata, kemudahan tambahan lain bagi negeri Fasa 1 dan seterusnya, termasuk aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan serta operasi Pasar Malam dan Pasar Minggu.
Katanya, kemudahan tambahan itu diputuskan selepas mengambil kira perkembangan positif kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di seluruh negara yang sudah melebihi 50 peratus, lebih awal daripada sasaran iaitu 31 Ogos.
Selain itu, katanya, ia turut mengambil kira penurunan bilangan kes bagi kategori 3 hingga 5 di Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan dan Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Kemudahan tambahan yang dibenarkan bagi sektor sosial secara amnya adalah aktiviti ‘dine-in’ (makan di restoran) kini dibenarkan bagi negeri Fasa 1 PPN dan seterusnya.
“Saya ingin menyarankan kepada pengusaha premis kedai makan supaya menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan yang lebih baik.
“Risiko penyebaran virus COVID-19 adalah jauh lebih tinggi di dalam premis berbanding di luar.
“Pemilik premis kedai makan perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk dine-in mesti memaparkan sijil digital vaksinasi COVID-19, yang menunjukkan individu itu menerima vaksinasi lengkap.
“Bagi pasangan yang menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk dine-in di premis kedai makan, pastikan anak-anak anda mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhyiddin berkata, aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan juga dibenarkan di negeri Fasa 1 PPN dan seterusnya, serta terpakai dalam daerah yang sama sahaja.
Katanya, aktiviti itu dibenarkan adalah seperti jogging, senaman, taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (single), badminton (single), golf, permotoran dan seumpamanya.
Jelasnya, aktiviti itu dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka dan separa terbuka bermula jam 6 pagi hingga 10 malam.
“Aktiviti dibenarkan juga termasuk perkelahan dan perkhemahan. Penyertaan anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah adalah dibenarkan dengan pematuhan SOP yang ketat.
“Selain itu, dine-in di restoran atau kafe di premis rumah kelab dibenarkan dan pemilik premis perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk dine-in mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19.
“Bagaimanapun, operasi bilik persalinan atau bilik mandi di premis rumah kelab tidak dibenarkan bagi mengelakkan perkumpulan selepas bersukan dan mengurangkan risiko jangkitan,” katanya.
Mengulas kemudahan tambahan sektor perdagangan dan pengedaran di negeri Fasa 1 PPN dan lain-lain, Muhyiddin berkata, operasi Pasar Malam dan Pasar Minggu turut dibenarkan.
Beliau menjelaskan, selain penurunan jumlah kes kategori 3 dan 5 di enam negeri dan wilayah berkenaan, semua kemudahan berkenaan turut mengambil kira situasi di Jabatan Kecemasan di Lembah Klang yang bertambah baik.
Sebagai contoh, katanya, purata pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan untuk ditempatkan ke wad pesakit bagi hospital KKM di Lembah Klang telah menurun, selari pencapaian kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di Lembah Klang yang mencecah 73.8 peratus.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.