PUSAT Borong GM Klang akan mengambil masa seminggu atau dua minggu lagi untuk kembali beroperasi, dengan tarikan lebih banyak kedai dibuka untuk para pelanggan.
Pengurus Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam GM Klang Norsuhaida Othman berkata, walaupun kemudahan sektor ekonomi sudah dibenarkan untuk dibuka semula bagi 11 lagi sektor perkhidmatan di negeri-negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara, namun pihaknya tidak mahu tergesa-gesa untuk memulakan operasi.
“Pihak pengurusan memberi waktu senggang (lapang) kepada para pemborong untuk lebih bersedia dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP), dan berhati-hati dalam membuat persiapan bagi memastikan kedai mereka betul-betul selamat untuk dikunjungi oleh para pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata peratusan penerimaan vaksin yang lengkap di kalangan pekerja GM Klang terutamanya petugas barisan hadapan seperti pengawal keselamatan, pekerja pembersihan termasuk para pemborong sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa, supaya kapasiti 100 peratus dapat dikecapi dalam masa yang singkat.
Katanya masyarakat umum telah mengetahui GM Klang mempunyai pelbagai produk di bawah satu bumbung, dengan tawaran harga borong yang menarik dan dengan pembukaan lebih banyak kedai di pusat itu, pastinya membantu kembali peniaga-peniaga kecil untuk mendapatkan stok barangan perniagaan mereka, dengan lebih cepat dan mudah daripada para pemborong.
“Malah orang awam juga dapat membuat penjimatan lebih dengan mendapatkan barangan keperluan mereka dengan harga borong,” katanya.
“Besar harapan kami agar kelonggaran ini mampu melancarkan semula sedikit demi sedikit aktiviti perniagaan dan membeli-belah di GM Klang ini, yang sememangnya terjejas untuk tempoh beberapa bulan yang lepas.
“Selagi kita memainkan peranan dan tanggungjawab kita, kita pasti boleh mengelak perkara buruk yang tidak dingini daripada berlaku,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.