Ahli Parlimen UMNO, BERSATU tiba di Istana Negara menaiki bas

KUMPULAN pertama Ahli Parlimen daripada UMNO tiba di Istana Negara, pada jam 10.35 pagi tadi bagi sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mereka tiba dengan menaiki sebuah bas persiaran dan beberapa kenderaan lain.

Turut kelihatan, kenderaan yang membawa Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, sebuah lagi bas yang membawa 11 Ahli Parlimen Bersatu tiba di Istana Negara pada pukul 10.43 pagi ini

Antara yang kelihatan menaiki bas itu Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof dan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien.

Semalam, Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjaya mengumpul jumlah surat akuan (SD) tertinggi iaitu dengan 114 sokongan sekali gus mengangkat beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

Difahamkan, sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong itu bertujuan mengesahkan sokongan kepada calon Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.