KESEMUA 17 Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah selesai menghadap Yang Di-Pertuan Agong bersama Ahli Parlimen Lubok Antu (bebas), Jugah Anak Muyang @ Tambat secara maya sebentar tadi.
Manakala seorang daripada mereka iaitu Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing menghadap baginda di Istana Negara secara bersemuka.
Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika ditemui selepas menghadap Agong berkata pihaknya dipanggil seorang demi seorang bagi mengesahkan sokongan kepada calon Perdana Menteri ke-9.
“Yang di-Pertuan Agong telah memanggil semua ahli parlimen yang telah membuat Perakuan Sumpah untuk mengesahkan pertama sekali kandungan Perakuan Sumpah dan mengesahkan bahawa apa pilihan kita ini, adakah ianya atas rela hati, dan itulah pengesahan yang dibuat tadi.
“Kami ada 18 orang tadi mengesahkan bahawa kita sudah memilih calon Perdana Menteri dan mengesahkan bahawa calon yang kita pilih ini atas rela hati daripada setiap ahli parlimen, GPS khususnya dan jugak ahli parlimen Sarawak, yang bebas tadi pun ada juga,” katanya ketika ditemui media di perkarangan hotel tersebut.
Fadillah bagaimanapun tidak mendedahkan siapa calon Perdana Menteri yang dipilih GPS. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.