YAYASAN Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), melancarkan program pembiayaan untuk doktor awam dan pakar perubatan mendapatkan pensijilan Membership Royal College of Physicians (MRCP) United Kingdom (UK) dan Ireland bagi pengkhususan perubatan dalaman.
Menurut kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Mohd Muzzammil Ismail, program di bawah teras Peneraju Spesialis itu, menyasarkan pegawai perubatan dan pelatih perubatan yang tidak mendapat tajaan kerajaan Persekutuan atau badan penaja lain.
“Pembiayaan tersebut termasuk bantuan awal sekali beri, tuisyen dan peperiksaan/yuran profesional yang akan dibayar melalui kaedah pembayaran balik selepas lulus setiap bahagian atau peperiksaan.
“Permohonan dibuka pada September ini dan kami menyasarkan untuk membiayai 200 pegawai perubatan sama ada berjawatan tetap atau kontrak, menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Tambah beliau untuk permohonan itu, calon harus berumur di bawah 45 tahun pada tarikh tutup permohonan, bekerja di sektor kerajaan, Bumiputera dan memenuhi syarat ditetapkan oleh MRCP UK/Ireland.
“Mereka yang telah menamatkan sekurang-kurangnya tahun pertama latihan, tidak kurang dari tiga tahun perkhidmatan berstatus tetap atau kontrak dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan telah mendaftar untuk Parallel Pathway (MRCP) dengan kementerian juga boleh memohon mengikuti program ini.
“Kami berbesar hati menjalankan program ini bagi memberi laluan kepada lebih ramai pegawai perubatan Bumiputera memperoleh sijil kepakaran dan menggunakan kepakaran mereka di lebih banyak hospital awam di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Program berkenaan telah mendapat pengiktirafan dari National Specialist Register (NSR) dan selain MRCP ia juga telah menerima pelbagai anugerah dari institusi antarabangsa termasuk Member/Fellow Royal College of Obstetricians and Gynecologists (MRCOG), Membership Royal College of Pediatrics and Child Health (MRCPCH) dan Fellowship of the College of Anesthesiologist Ireland (FCAI).
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.