[VIDEO] Memahami Istilah ‘ditidurkan’ kepada pesakit Covid-19 tahap 4, tahap 5

ISTILAH ‘ditidurkan’ merupakan ikhtiar perubatan terakhir untuk menyelamatkan pesakit Covid-19.

Malah, istilah tersebut bukan lagi asing dalam dunia perubatan dan bukan bermakna mereka sudah tiada harapan untuk sembuh daripada jangkitan wabak berbahaya tersebut.

Dalam pada itu, menerusi perkongsian seorang pengamal perubatan di Facebook, Dr Hafez Iftiqar, beliau menerangkan istilah ‘ditidurkan’ kepada pesakit Covid-19 yang berada di tahap 4 dan 5.

Perkongsian Dr Hafez Iftiqar di Facebook.

1. Ditidurkan jadi perkataan menakutkan kebelakangan ini. Ada yang salah tanggap ditidurkan ialah suatu bentuk pembunuhan. Untuk pengamal perubatan, ditidurkan atau induced coma untuk tujuan ‘intubation’ ialah usaha paling optimal untuk menyelamatkan nyawa.

2. Kenapa sampai perlu ditidurkan? Untuk jawab soalan ini hanya perlu jolok anak tekak. Rasa hendak termuntah apabila dijoloki dipanggil ‘gag reflex’. Untuk memasukkan tiub pernafasan memerlukan 2 proses dijalankan; 1. Ditidurkan (sedation) ;2. Dilumpuhkan. 2 proses ini perlu untuk mengelakkan fungsi badan yang boleh kita kawal dan tidak boleh kita kawal memberontak. Pemberontakan bukan saja tidak selesa dan menyakitkan, tapi juga menyebabkan jantung berdegup kencang dan tekanan darah tak menentu.

3. Pengamal perubatan sebolehnya mahu mengelakkan ‘intubation’ kerana kesusahan yang akan terjadi selepas ‘intubation’. Seorang pesakit yang telah diintubasi memerlukan pengawasan rapi 24 jam tidak seperti pesakit lain. Kos yang perlu ditanggung hospital untuk seorang pesakit juga mencanak naik setelah diintubasi. 

4. Pesakit memerlukan ubat-ubatan yang perlu dipam berterusan 24 jam, pasukan yang menjaga pesakit akan bertambah dari hanya pasukan perubatan kepada pasukan ICU, kadang-kadang penyakit berjangkit (infectious disease team), buah pinggang dan jantung, mungkin juga obstetric dalam kes ibu mengandung. Dari 2-3 orang doktor kepada mungkin lebih sepuluh orang doktor untuk seorang pesakit. Ini belum kira kos ‘monitoring’ seperti pemeriksaan darah secara berkala. Intubasi memakan kos yang besar dan sangat tidak ideal untuk hospital tapi perlu untuk menyelamatkan nyawa. Lebih mudah dan murah jika pesakit menandatangani borang tidak mahu menerima rawatan at ‘own risk.’ 

5. Stage 4/5 COVID menjadikan seseorang kelemasan walau pun dikelilingi udara seluas langit dan bumi kerana paru-paru sudah dibanjiri cecair (cytokine storm).  Sesak kadang-kadang menggelupur untuk tarik 1-2 nafas. Xray selalunya kelihatan putih (COVID pneumonia). Bernafas yang kita tidak perlu fikir selama ini sebenarnya bukan proses yang mudah. Ia melibatkan pertukaran gas dan koordinasi otot-otot menaikkan serta mengurangkan tekanan dalam dada bagi membolehkan udara keluar,masuk dan bertukar. 

6. Apabila paru-paru banjir, efek domino akan terjadi. Bernafas akan jadi kerja yang memenatkan dan otot-otot dada mula menjadi letih. Udara tidak dapat betukar dan oksigen tidak dapat sampai pada organ-organ penting seperti jantung, otak dan buah pinggang. Hasil kumuhan tidak boleh dibuang dari badan dan mula menimbun dalam badan. Pada saat ini, tanpa melakukan sesuatu, kematian menunggu apabila semua organ beransur-ansur berhenti berfungsi. 

7. Pada waktu ini, ‘ditidurkan’ untuk tujuan bantuan pernafasan (invasive ventilation) ialah ikhtiar perubatan terakhir untuk menyelematkan pesakit. Melalui rawatan rapi, pernafasan perlu diregulasi untuk membuang bahan kumuh dalam badan dan memaksa oksigen masuk. Kadang-kadang dialisis untuk membantu fungsi buah pinggang diperlukan untuk membuang bahan-bahan kumuh. Proses ini diharapkan short and sweet dan jatuhan domino dapat dihentikan. 

8. Jika jatuhan domino masih terjadi, untuk pengamal perubatan, mati ada 2; kematian otak (brain death) dan kematian jantung (cardiac death). Semasa semua tanda aras dari kandungan darah sehingga tindakan reflek  tidak lagi menunjukkan harapan untuk bernafas dengan sendiri, bantuan pernafasan (ventilasi) tidak lagi berguna untuk diteruskan. ‘Brain death’ telah terjadi. Sewaktu bantuan ini ditarik, jantung akan masih lagi berdegup tetapi semakin lama semakin perlahan sehingga akhirnya berhenti dan monitor jantung pada skrin akan mendatar. Innalillah wa inna ilai hirojiun. Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.