Kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 mengikut kes harian di negara ini mencatatkan penurunan kepada 1.04 semalam, berbanding 1.05 sejak minggu lalu.
Pun begitu, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Perlis menjadi negeri mencatatkan Rt tertinggi dengan nilai 1.29. manakala 10 negeri lagi mencatatkan Rt melebihi purata kebangsaan.

“Perlis mencatatkan Rt tertinggi iaitu 1.29 diikuti Sarawak (1.19), Sabah (1.17), Kelantan (1.16), Pulau Pinang (1.15), Kedah (1.11), Perak (1.09), Melaka, Johor dan Terengganu masing-masing 1.07 serta Pahang (1.06).
“Selangor pula mencatatkan nilai 1.01 diikuti Kuala Lumpur (0.98), Negeri Sembilan (0.95) dan Putrajaya (0.91),” katanya menerusi Facebook hari ini.
Berdasarkan Model Pembendungan Risiko, Pendedahan dan Jangkitan (SEIR) Unjuran dan Pemerhatian Kes Harian COVID-19 yang dikongsi Dr Noor Hisham, kes harian berisiko melonjak melebihi 19,000 jika Rt kembali melebihi 1.2, kesan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).
Sekiranya pematuhan SOP dilakukan, Rt mampu turun sehingga 0.95 mengikut pemerhatian kes yang mengambil kira purata tujuh hari bagi nilai keseluruhan dan tempoh 14 hari bagi Rt setiap negeri. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.