[VIDEO] Tidak pasti tawar diri jadi PM lagi – Muhyiddin

0
249

TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak pasti sama ada akan menawarkan diri sekali lagi untuk menjadi Perdana Menteri.

“Adakah saya akan tawarkan diri sebagai Perdana Menteri? Saya tidak pasti. Jika saya tawar pun bilangan (Ahli Parlimen yang menyokongnya) akan terus sama seperti sebelum ini.

“Takkan negara terus diletakkan dalam keadaan terumbang-ambing. Kita tak boleh terus bertahan dengan situasi begini,” kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata demikian pada sidang media khas di Putrajaya semalam.

Beliau ditanya sama ada akan menawarkan diri untuk menjadi Perdana Menteri berikutan laporan tiada parti politik atau mana-mana calon mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan atau dipilih sebagai Perdana Menteri.

Istana Negara dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan menerima peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa serta-merta.

Yang di-Pertuan Agong dijangka mengadakan pertemuan dengan pemimpin beberapa parti politik utama hari ini untuk melihat siapa yang memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan.

Difahamkan sehingga semalam, kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempunyai sokongan 100 Ahli Parlimen selepas 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan kerajaan PN.

Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan mempunyai sokongan 95 Ahli Parlimen.

Calon lain dalam percaturan menjadi Perdana Menteri adalah bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan veteran parti yang juga penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.

Mana-mana parti atau calon yang menawarkan diri untuk jawatan Perdana Menteri dan kerajaan memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 111 Ahli Parlimen.

Dewan Rakyat ketika ini ada 220 kerusi Parlimen selepas dua Ahli Parlimen meninggal dunia tahun lalu.

Mengulas lanjut , Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, banyak pihak sebelum ini mendakwa ada sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

“Ada juga pemimpin sebelum ini mendakwa mempunyai bilangan yang kukuh dan meyakinkan, tapi kita tahu itu tidak betul, kita ada maklumat.

“Ketika itu tiada parti yang mempunyai majoriti lebih besar daripada PN,” katanya.

Muhyiddin dipercayai merujuk kepada kenyataan Anwar tahun lalu yang mendakwa memiliki majoriti kukuh dan meyakinkan, iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here