[VIDEO] PM sementara pastikan pentadbiran negara tidak terjejas

0
272

PERANAN Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sementara bertujuan memastikan pentadbiran negara tidak terganggu dan dapat berlangsung seperti biasa sehingga perdana menteri baharu dilantik, demikian pandangan pakar perlembagaan dan undang-undang.

Pakar perlembagaan Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata sebagai Perdana Menteri sementara, Muhyiddin tidak boleh membuat sebarang keputusan penting dan pentadbiran negara hanya berjalan berdasarkan dasar atau keputusan yang dibuat kerajaan terdahulu.

“Perdana menteri sementara tidak terlibat dalam membuat sebarang keputusan dan hanya berdasarkan dasar sedia. Dalam keadaan sekarang walaupun tiada perdana menteri atau jemaah menteri, fungsi kerajaan masih berterusan cuma secara rasminya, jawatan perdana menteri dan jemaah menteri itu tiada,” katanya.

Khairil Azmin, yang merupakan Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan Malaysia di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata senario yang berlaku kini adalah sama seperti ketika Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh tahun lepas sekali gus memerlukan perdana menteri baharu dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat.

Beliau berkata tiada peruntukan berkaitan ‘perdana menteri sementara,’ ‘perdana menteri interim’ atau ‘kerajaan sementara’ di dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Mengikut situasi biasa, Khairil Azmin berkata ‘kerajaan sementara’ hanya berlaku apabila Parlimen dibubarkan yang secara automatik menyebabkan perdana menteri dan menteri Kabinet hilang jawatan.

Senada dengan Khairil Azmin, seorang lagi pakar perlembagaan Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berpandangan pelantikan Muhyiddin membayangkan hasrat Yang di-Pertuan Agong untuk Ahli Parlimen Pagoh menjalankan tugasnya sehingga seorang perdana menteri baharu dilantik.

“Melihat istilah ‘caretaker’ dalam kenyataan media Istana Negara merujuk keadaan seorang perdana menteri dilantik sementara menunggu perdana menteri baharu dilantik, maknanya tugas-tugas itu hanya terhad masa sehinggalah perdana menteri baharu dilantik,” katanya.

Shamrahayu, yang juga Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, berkata konteks ‘caretaker’ juga menunjukkan perdana menteri sementara itu tidak mempunyai kuasa yang luas untuk membuat keputusan besar.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara atau ‘caretaker’ sehingga perdana menteri baharu dilantik.

Pelantikan sebagai Perdana Menteri sementara itu diputuskan setelah Seri Paduka berkenan menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri yang berkuat kuasa hari ini.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla pula berkata konsep perdana menteri sementara tidak terdapat dalam Perlembagaan namun ini tidak bermakna ia salah. 

“Muhyiddin tidak boleh membuat keputusan berhubung dasar sebaliknya hanya boleh mengawasi fungsi kementerian sehingga Agong melantik perdana menteri baharu,” katanya.

Seorang lagi pengamal undang-undang, Datuk Mohd Haaziq Pillay berkata peranan perdana menteri sementara tidak dinyatakan dengan jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan. 

“Memandangkan beliau adalah Perdana Menteri sementara, beliau hanya boleh melakukan perkara-perkara yang berkaitan dengan fungsi kerajaan dan yang diperlukan daripada beliau sebagai Perdana Menteri sementara. Meskipun fungsi-fungsi itu tidak dinyatakan dengan jelas, perdana menteri sementara sebenarnya bertindak sebagai perdana menteri berdasarkan Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Harus diingat bahawa beliau hanya bertindak sebagai Perdana Menteri sementara atas nasihat dan perintah Yang di-Pertuan Agong. Beliau tidak dilantik berdasarkan peruntukan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan beliau memiliki majoriti di Parlimen,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here