PEJUANG sedia bekerjasama dengan PN, asalkan tanpa kumpulan UMNO 15

PARTI Pejuang Tanah Air (PEJUANG) sedia bekerjasama dengan blok Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan sekiranya tidak melibatkan pemimpin-pemimpin kluster mahkamah atau kumpulan UMNO 15.

Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kemungkinan itu tidak dapat dielak jika semua pihak sedia berusaha mencukupkan angka bagi membolehkan Perdana Menteri baharu dilantik.

“Ya kami bersedia bekerjasama dengan mereka. Saya ingat itu bukannya dapat kita elak kalau kita berusaha mencukupkan angka itu, ” katanya dalam wawancara eksklusif bersama saluran Astro Awani hari ini.

Ahli Parlimen Jerlun itu ditanya kemungkinan PEJUANG bekerjasama dengan parti-parti dalam PN seperti Bersatu, PAS, GPS dan lain-lain lagi.

Mukhriz berkata, antara syarat PEJUANG untuk bekerjasama dengan mana-mana gabungan ialah ia mestilah tidak melanggar prinsip perjuangan parti itu.

“Kami daripada awal lagi kekal berprinsip dalam soal memerangi rasuah.

“Oleh kerana itu kami akan bermasalah sekiranya majoriti yang kami sokong itu mengandungi apa yang kami kenali sebagai kluster mahkamah,” katanya.

Kluster mahkamah merujuk kepada pemimpin UMNO yang berdepan dengan pendakwaan rasuah, salahguna kuasa dan pengubahan wang haram. Pemimpin dalam kluster ini turut merupakan sebahagian daripada kumpulan UMNO 15, kumpulan yang menarik sokongan sehingga kerajaan PN terbubar.

PEJUANG merupakan serpihan kepada Bersatu yang ditubuhkan selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari 2020.

Pendaftaran parti yang mempunyai empat orang ahli Parlimen itu diluluskan baru-baru ini.