Oleh Rahimi Mohamad
PESURUHJAYA Pas Johor, Abdullah Husin menyifatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin cemerlang ketika memikul tanggungjawab sebagai Perdana Menteri walaupun dalam keadaan negara yang tidak menentu sejak pandemik Covid-19.
Menurut Abdullah, Ahli Parlimen Pagoh itu dan barisan menteri Kabinetnya juga berjaya merancang serta melaksanakan beberapa strategi besar bagi melawan pandemik itu termasuk yang terakhir menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Walaupun mandat yang digalas dalam suasana negara berperang dengan pandemik Covid-19, menerusi kesungguhan dan kecekalan beliau, pentadbiran negara berjaya dipacu dengan baik.
“Ini sekalipun diganggu gugat pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan. Keadaan negara dapat dikawal serta rakyat dapat pembelaan yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Abdullah, antara kecemerlangan ditunjukkan termasuklah pelaksanaan program vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang telah diakui antara terbaik di dunia.
“Kami mendoakan agar Tan Sri Muhyiddin sentiasa dalam perlindungan Allah dan istiqomah dalam mempertahankan prinsip menjaga keadilan dan kesejahteraan negara, tahniah juga kepada seluruh barisan Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) atas kerja kuat mereka dalam membantu pengurusan dan pentadbiran negara,” katanya.
Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan beliau dalam perutusan khas semalam selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara bagi mempersembahkan surat peletakan jawatan itu selepas hilang majoriti sokongan ahli Dewan Rakyat. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.