Ke arah pentadbiran Malaysia yang lebih stabil – Tengku Zafrul

BEKAS Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berharap kemelut politik yang berakhir dengan terbubarnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan membuka lembaran baharu ke arah pentadbiran Malaysia yang lebih stabil.

Dalam hantarannya di Facebook, Tengku Zafrul berkata, diharapkan fokus selepas ini dapat diberikan 100% kepada usaha untuk menangani cabaran Covid-19.

“Selama hampir 18 bulan saya berkhidmat, saya akui ianya adalah tempoh yang amat mencabar.

“Bagi TeamMOF untuk mengimbangi antara nyawa dan kehidupan di samping memastikan kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi semasa pandemik Covid-19.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua warga MOF serta agensi-agensi berkaitan yang telah banyak membantu saya mengemudi Kementerian dalam usaha kita menentang Covid-19,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang telah menyokong usaha MOF sepanjang beliau menggalas tugas sebagai Menteri Kewangan.

“Saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan dari semua jika terdapat sebarang kekhilafan selama saya bertugas. Semoga Allah SWT memberkati Negara ini dan rakyatnya, InsyaAllah. ‘Stay safe’ dan semoga kita berjumpa lagi,” katanya.