BERSATU menyerahkan kepada Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memutuskan sama ada Ahli Parlimen pro-Perikatan Nasional perlu memberikan sokongan kepada Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri.
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat kepimpinan BERSATU bersama Ahli Parlimen parti itu dan kalangan mereka yang menyokong PN.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Publika.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Kamarudin Jaffar memaklumkan perkara itu berkata mereka yang hadir sepakat memberi mandat penuh kepada Muhyiddin membuat “keputusan terbaik” berhubung perkara itu.
Katanya, Muhyiddin juga bebas memberikan perakuan sokongan calon PM pilihan BERSATU kepada Yang di-Pertuan Agong sekiranya diminta.
Justeru, jelas beliau, soal surat akuan bersumpah (SD) untuk pihak tertentu bukan menjadi perkara paling penting.
“Dalam suasana politik, ekonomi dan kesihatan yang amat mencabar sekarang, soal SD itu teknikal.
“Pendeknya, kalau perlu SD…SD lah, kalau ketua parti (Muhyiddin) memaklumkan kepada yang berkuasa (Yang di-Pertuan Agong), itulah pendirian kita, inilah mandat kepada Presiden untuk beri pendirian parti jika diminta Agong,” katanya ketika ditemui pemberita malam tadi.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.