Parti politik perlu bersatu hadapi Covid-19, masalah ekonomi, titah Agong

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memberikan titah nasihat supaya semua parti politik bersatu menghadapi Covid-19 dan juga masalah ekonomi.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata baginda juga bertitah supaya isu pelantikan Perdana Menteri baharu diselesaikan melalui lunas Perlembagaan dan negara juga memerlukan cara politik baharu.

Ketua pembangkang itu turut berkata, ketua-ketua parti yang hadir memberikan pandangan masing-masing pada pertemuan itu.

“Semua nampak ada konsensus hentikan politik lama dengan cara hukum dan harus jurus semula ke arah membangun,” katanya.

Menurut Anwar, isunya bukan semata-mata pelantikan seorang Perdana Menteri baharu, tetapi yang penting baginda mahu parti politik mengagaskan suatu bentuk politik baharu yang lebih aman dan nyaman untuk rakyat

Terdahulu, Anwar bersama Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir dan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man menghadap Agong serta Sultan Nazrin Shah selama dua jam.

Pertemuan hari ini susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri yang kini menjadi perdana menteri sementara sehingga perdana menteri baharu dilantik. – SB