Sesi persekolahan dibawa ke 3 Oktober

SESI persekolahan di seluruh negara yang sepatutnya bermula 1 September ini ditangguhkan kepada 3 Oktober depan.

Ketika memaklumlan perkara berkenaan, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin
Radzi berkata, pembukaan sesi persekolahan itu dilewatkan sedikit selepas meneliti situasi perkembangan semasa membabitkan penularan Covid-19 di seluruh negara.

Katanya menerusi rakaman video di laman sosial Facebook rasmi beliau semalam, pembukaan sekolah akan dibuat secara berperingkat bermula dengan kelas peperiksaan.

“Perincian pembukaan sekolah mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan diperincikan dan dimaklumkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dalam masa terdekat.

“Namun, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), tidak ada sekolah yang akan dibuka untuk negeri Fasa 1 PPN. Saya amat berharap penjelasan ini dapat meredakan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa tentang pembukaan semula sekolah,” katanya.

Keputusan itu jelas beliau, dibuat selepas mengambil kira keselamatan anak-anak dan kebimbangan ibu bapa.

Tambah beliai lagi, negeri-negeri Fasa 2 pula, sekolah dibenarkan buka bagi murid kelas peperiksaan sahaja.

Manakala, negeri Fasa 3 pula, sekolah dibenarkan buka bagi murid kelas peperiksaan dan murid-murid lain.

Bagaimanapun, Radzi berkata, bagi negeri Fasa 2 dan 3 pula, pembukaan sekolah dibenarkan selepas penilaian risiko penularan wabak di negeri berkenaan. – SB