PERDANA Menteri interim ataupun mengisytiharkan darurat merupakan dua pilihan yang paling kurang mendatangkan mudarat bagi rakyat seandainya benar Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatannya.
Pakar Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood ketika menyatakan perkara ini turut menjelaskan, kepentingan rakyat pastinya akan menjadi asas utama kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk membuat sebarang keputusan berkait dengan perletakan jawatan Perdana Menteri itu.
Menjelas lanjut, Nik Ahmad berkata, kedua-dua pilihan keputusan itu boleh membantu pentadbir yang seterusnya itu memastikan urusan pentadbiran kursusnya yang berkait dengan pengurusan wabak covid-19 tidak terganggu sehinggalah tiba waktu yang sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15.
Tambah beliau, kedua-dua pilihan keputusan berkenaan juga dapat menamatkan kemelut politik daripada terus berlaku dan mengelakkan kemudaratan besar kepada rakyat.
“Sekiranya Agong memilih untuk melantik Perdana Menteri interim, individu berkenaan perlu diperjelaskan dengan menyeluruh bidang dan sempadan kuasanya supaya menjadi lebih jelas had kuasa beliau
“Manakala jika darurat diisytiharkan, baginda selanjutnya akan melantik individu-individu yang dirasakan layak untuk menganggotai Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang akan mentadbir negara sepanjang tempoh darurat,” katanya kepada SatuBerita.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kedua-dua keputusan itu mempunyai contoh yang telah berlaku di dalam negara sebelum ini.
Dalam masa sama, Nik Ahmad memberitahu pilihan yang paling mudah untuk dibuat ialah untuk melantik sebuah kerajaan baharu yang pada hemat baginda akan diterajui oleh individu yang mempunyai majoriti di dalam parlimen.
Kata beliau, Agong mempunyai juga pilihan untuk menitahkan Pilihan Raya Umum diadakan sebagai menyelesaikan polemik politik di Malaysia jika dinasihatkan oleh Perdana Menteri sewaktu melepaskan jawatan.
Pun begitu, kedua-dua keputusan berkenaan membawa risikonya yang tersendiri kepada rakyat di waktu negara sedang dilanda pandemik Covid-19.
Bagaimanapun beliau menegaskan, rakyat tidak perlu bimbang kerana semua perkara tersebut sudah sedia berada di dalam maklumat dan kebijaksanaan Agong dalam apa jua keputusan yang baginda bakal putuskan. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.