Kepentingan rakyat lebih utama berbanding agenda kepartian

0
237

Oleh Rahimi Mohamad

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) sejak hari pertama mengambil alih pentadbiran negara telah sehabis mampu menguruskan kepentingan rakyat berdepan pandemik Covid-19 dengan sebaik-baiknya tanpa pernah berputus asa.

Meskipun diasak dari pelbagai sudut, Setiausaha PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, kerajaan tidak mengalah dengan segala konflik dan krisis yang dihadapi sebaliknya kekal tenang serta hadir dengan pelbagai perancangan intervensi dan pelan pemulihan.

Justeru kata beliau, tindakan segelintir pihak yang meletakkan negara dalam krisis politik selain mengganggu gugat kestabilan pentadbiran kerajaan ketika ini amat dikesali semasa tumpuan sepatutnya untuk menangani krisis kesihatan dan ekonomi rakyat yang terjejas akibat Covid-19.

“Atas sebab itu, penting bagi setiap parti sama ada di dalam mahupun di luar PN untuk bersikap rasional dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan berbanding agenda politik kepartian.

“Kerajaan pada masa kini sentiasa berusaha keras malah memberikan komitmen yang tinggi untuk menyelamatkan negara dan rakyat daripada pandemik Covid-19.

“Menjadi kewajaran bagi semua pihak untuk memberikan sokongan kepada kerajaan dalam
mendepani cabaran Covid-19, sekali gus menghentikan polemik politik serta perebutan kuasa dan jawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, seperti dijanjikan mandat akan dikembalikan kepada rakyat disusuli dengan pilihan raya umum seperti yang dimahukan pelbagai pihak sebaik sahaja situasi mulai reda dan Pelan Pemulihan Negara menunjukkan kejayaan menyeluruh.

Kata beliau, desakan pihak-pihak tertentu agar Perdana Menteri meletakkan jawatan pada kadar segera ketika negara sedang diuji dengan pandemik Covid-19 bukanlah satu penyelesaian.

“Kerajaan perlu terus berfungsi seterusnya memacu setiap tindakan yang direncanakan menuju hala tuju yang telah ditetapkan. Inilah yang terbaik untuk rakyat dan negara pada ketika ini,” katanya.

Setakat ini, lebih 17 juta rakyat di Malaysia yang berdaftar dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah menerima dos pertama, malah lebih 40 peratus populasi dewasa telah mendapatkan dos lengkap selain kadar kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital dan bilangan kes kategori 3 hingga 5 telah menunjukkan penurunan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here