AHLI PAS dinasihatkan bertenang dan terus berdoa supaya kemelut politik negara dapat diselesaikan segera.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pihaknya juga berharap orang ramai khususnya ahli parti itu mendapatkan maklumat daripada sumber sahih dan tidak terpengaruh dengan fitnah pihak tertentu yang sengaja menimbulkan kekeliruan.
“Saya dengan kawan-kawan dalam PAS serta ahli Kabinet lain akan uruskan dengan baik situasi ini supaya kestabilan negara dapat dikekalkan.
“Insya-Allah saya penuh yakin dan percaya pimpinan kita sedang melakukan yang terbaik, apa yang kita mampu, kita cuba buat, doakan bersama,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Beliau berkata, ketika ini, apa yang perlu adalah keyakinan bahawa setiap yang berlaku sudah diaturkan Allah SWT.
“Saya harap semua ahli parti bertenang, hadapi suasana dengan fikiran lapang, apa yang Allah atur adalah yang terbaik.
“Dalam hidup kita, kita tak tahu apa yang Allah susun untuk kita, dan kita yakin bahawa itu yang terbaik,” katanya.
Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata, apa yang berlaku sudah pun ditetapkan Allah namun dirahsiakan kerana manusia perlu berusaha dan akan diberi ganjaran pahala.
Menurutnya, apa yang penting ialah mengekalkan kedamaian serta tidak menimbulkan suasana gawat dalam kalangan masyarakat.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.