UMNO pujuk Bersatu, PAS terima nama calon PM mereka

PARTI UMNO kini dilaporkan sedang berunding dengan parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS untuk menerima calon Perdana Menteri (PM) daripada parti itu, bagi menerajui tampuk kuasa di Putrajaya.

Memetik laporan Agenda Daily, tindakan itu berikutan wujud kebimbangan sekiranya blok pembangkang akan dapat melantik calon PM baharu mereka.

Difahamkan, rundingan itu diketuai pemimpin utama UMNO yang berada dalam kem Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan kem Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut sumber, rundingan yang diketuai dua pemimpin dalam kem UMNO yang berbeza itu bertujuan memastikan nama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP tidak kembali menerajui kerajaan pusat.

Antara yang menjadi pertimbangan kem 15 Ahli Parlimen (MP) yang bersama Zahid sekiranya terpaksa menyokong Anwar dan DAP ialah komposisi minoriti MP Melayu Islam yang berada dalam kerajaan baharu berkenaan.

Ini kerana memandangkan jumlah MP bukan Melayu yang berada dalam blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) ketika ini adalah seramai 58 orang.

Sekiranya 15 MP UMNO bergabung dengan blok pembangkang, dicampur dengan 33 orang MP Melayu Islam dalam PH, ia masih bukan majoriti kerana hanya sekadar memiliki 48 MP bumiputera.

Keadaan ini berisiko akan menjejaskan kestabilan kepada kerajaan baharu terbabit yang mungkin tidak diterima oleh rakyat yang majoritinya beragama Islam berbangsa Melayu dan berkemungkinan besar juga akan ditolak Yang di-Pertuan Agong.

Rundingan itu ada mencadangkan nama calon PM dari UMNO, namun sekiranya mengikut hierarki parti nama Zahid yang sepatutnya ditabalkan sebagai PM baharu tetapi ia mungkin mengundang kritikan kerana terpalit dengan kes mahkamahnya.

Difahamkanm nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah antara yang turut dicadangkan sebagai calon PM baharu, ia memandangkan kononnya populariti dan penerimaan rakyat dalam media sosial yang seakan menyokong beliau.

Selain itu, nama Ismail Sabri dan Menteri Kanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga dikatakan ditawarkan sebagai pengganti kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya berlaku peletakan jawatan esok.

Sementara itu, sedang berlegar dalam media sosial dan kumpulan WhatsApp politik ketika ini berhubung satu sidang media yang akan diadakan UMNO untuk mengumumkan calon PM dan TPM pada hari ini.

Senario politik ketika ini memaksa beberapa parti politik dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) mencari jalan alternatif lain sekiranya ia tumbang, bagaimanapun UMNO melihat ini adalah peluang terbaik untuk mereka kembali berkuasa di Putrajaya dan menjadi dominan.

Sumber dalaman Bersatu memberitahu beberapa pimpinan UMNO sudah memaklumkan tawaran calon PM dan TPM mereka, ia bagaimanapun masih dalam perbincangan dan tiada sebarang keputusan muktamad diputuskan setakat ini untuk sama ada menerima tawaran tersebut.

PAS juga masih belum membuat keputusan muktamad dan sedang menimbang tawaran UMNO itu.

Sekiranya tawaran UMNO ini menjadi kenyataan ia akan mengembalikan pemerintahan parti utama orang tersebut selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Jumaat lalu, Muhyiddin menyenaraikan tujuh perkara dalam cadangannya kepada parti-parti pembangkang bagi mengelakkan kejatuhan kerajaan yang menurut beliau boleh mencetuskan risiko kekosongan kuasa ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19.

Namun, cadangan itu ditolak blok pembangkang.