Muhyiddin masih ada peranan besar walaupun letak jawatan PM- Penganalisis

SEKIRANYA Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan, beliau masih mempunyai peranan yang besar dalam rundingan pembentukan kerajaan kerana beliau masih lagi merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Penganalisis politik, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, sekiranya perkara itu terjadi, beberapa situasi dijangka berlaku, namun ia tidak akan terus kepada proses pertukaran kerajaan.

Prof. Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani

Menurut beliau, semuanya akan berlaku mengikut langkah demi langkah sekiranya kerajaan sudah tiada majoriti dan ia akan dimulakan dengan Muhyiddin terpaksa meletakkan jawatan.

“Sekiranya majoriti tidak cukup, dikatakan Muhyiddin ada sokongan 100 Ahli Parlimen, jadi beliau terpaksa untuk meletakkan jawatan.

“Itu langkah pertama. Dan beliau juga boleh usulkan kepada Yang di-Pertuan Agong berdasarkan perkara 43 (4) untuk membubarkan Parlimen.

“Namun begitu, kalau diikut dalam perkara 40 (2), Yang di-Pertuan Agong boleh menyatakan sama ada tidak setuju dengan pembubaran Parlimen kerana faktor yang kita tahu sekarang, faktor COVID-19,” katanya ketika bersiaran langsung di Buletin AWANI pada Ahad.

Beliau menambah, di dalam konteks situasi semasa, dijangkakan bahawa Kabinet keseluruhan juga terpaksa mengundurkan diri apabila Perdana Menteri meletakkan jawatannya kerana kerajaan yang terbentuk sudah hilang majoriti.

Katanya, situasi yang sama juga pernah berlaku sebelum ini, namun dalam konteks yang berbeza.

“Kalau dulu ada juga kerajaan yang Perdana Menterinya bertukar, pernah berlaku ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi ambil alih daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mana kerajaan masih kerajaan sama, kerana majoriti cukup.

“Jadi, pertukaran Perdana Menteri saja. Tetapi, dalam konteks ini, kerana tidak cukup majoriti, terpaksa Kabinet juga berundur daripada terus memerintah negara.

“Dalam konteks itu, proses seterusnya terletak kepada Yang di-Pertuan Agong untuk tentukan siapa dapat majoriti, siapa boleh membentuk kerajaan.

“Ini persoalan yang menarik untuk kita buat spekulasi dan untuk jangkakan siapa yang ada jumlah majoriti yang sesuai untuk pembentukan kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menjangkakan terdapat kemungkinan besar Yang di-Pertuan Agong akan melantik Muhyiddin untuk menjadi Perdana Menteri interim.

“Itu bergantung, kalau beliau mahu menjadi Perdana Menteri interim. Tahun lepas, Dr Mahathir sanggup.
“Kalau tidak, Yang di-Pertuan Agong akan lantik orang lain untuk sementara. Rasanya, tempoh tak lama, dalam seminggu atau dua minggu seperti itu,” ujarnya.