UMNO jangan hipokrit – Nazri Aziz

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dinasihatkan supaya tidak menjadi hipokrit terhadap tawaran sefahaman rentas parti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam .

Bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz ketika menyatakan perkara ini memberitahu, kerajaan Perak yang diterajui UMNO kini adalah hasil persefahaman yang beliau juga terlibat dalam rundingan dengan parti pembangkang termasuk DAP, kata seorang pemimpin senior parti.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu menambah, cadangan Muhyiddin Yassin adalah langkah sama yang berlaku di Perak sebelum ini apabila calon Menteri Besar UMNO juga mendapat sokongan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada parti pembangkang yang lain.

“Saya ingin mengulas berdasarkan pengalaman dalam pembentukan kerajaan negeri Perak dimana MB Perak, Saarani (Datuk Saarani Mohamad) telah mendapat sokongan penuh dari DAP dalam undi percaya kepada MB.

“Maknanya semasa pengundian, Saarani mendapat sokongan ADUN pembangkang sepenuhnya untuk menjadi MB,” Nazri dilaporkan sebagai berkata oleh Agenda Daily.

Malah, menurut beliau, ADUN pembangkang juga diberikan peruntukan yang sama banyak dan cadangan Muhyiddin juga sama dengan pendekatan yang berlaku di Perak.

“Kita tahu Menteri Besar Perak telah memberikan peruntukan yang sama banyak kepada DUN pembangkang di negeri, sama dengan DUN Perikatan Nasional (PN),” katanya lagi.

Tambah beliau, meskipun persefahaman bipartisan tersebut berjaya dilaksanakan, tiada jawatan diberikan dalam kerajaan negeri diberikan kepada ADUN pembangkang sebagai contoh tiada Exco Kerajaan Negeri Perak dilantik daripada kalangan ADUN pembangkang.

“Tapi kita tidak bersama dengan DAP dalam kerajaan negeri Perak, tidak ada Exco daripada pembangkang melainkan semua Exco daripada ADUN kerajaan sahaja,” ujarnya.

Beliau berkata, tidak ada perbezaan dengan pendekatan yang diumumkan Muhyiddin semalam dengan perkara yang berlaku di Perak.

Nazri turut membidas Zahid dan pemimpin UMNO lain yang mengkritik pengumuman kerajaan PN semalam supaya tidak menjadi hipokrit kerana mereka terlebih dahulu menjalinkan kerjasama dengan blok pembangkang khususnya DAP di Perak bagi memberi laluan kepada Saarani untuk dilantik sebagai MB baharu menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Jadi saya tidak mahu jadi hipokrit, bila UMNO buat boleh pula di Perak tapi bila Perdana Menteri cuba buat kita cakap tidak boleh pula.

“Tidak boleh macam itu kerana UMNO sudah buat di Perak tapi sekarang jika berlaku di pusat kata tidak boleh pula.

“Bagaimanapun, asasnya DAP tidak duduk dalam kerajaan pusat, sama seperti keadaan di Perak sebelum ini,” tegas beliau.

Beliau turut mengingatkan persetujuan bagi membentuk kerjasama dengan parti pembangkang di Perak, Zahid turut terlibat dalam perancangan tersebut.

“Zahid juga hadir dalam mesyuarat ketua-ketua bahagian dalam mesyuarat jawatankuasa perhubungan negeri yang bersetuju dengan langkah itu, saya sendiri turut terlibat dalam mesyuarat tersebut dan boleh sahkan Zahid juga terlibat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut berhubung pengumuman Muhyiddin semalam, Nazri menyifatkan ia adalah cadangan yang dibuat secara terbuka dan berbeza dengan rundingan yang berlangsung secara senyap-senyap antara UMNO dengan parti pembangkang di Perak.

“Banyak orang tidak tahu apa yang kita lakukan di Perak kerana kita menawarkan secara senyap-senyap, namun kalau ada tahu pun mereka sudah lupa kerana kerajaan sudah berjalan dengan baik di Perak ketika ini,” tambah beliau.

Semalam, Muhyiddin mengemukakan senarai tujuh perkara dalam cadangannya kepada parti-parti pembangkang bagi mengelakkan kemelut politik ketika negara ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19. – SB