Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Op Jangkar Haram:Dua kapal tangki asing ditahan -

Op Jangkar Haram:Dua kapal tangki asing ditahan

Oleh Abu Ubidillah Rahman

WALAUPUN Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sentiasa melakukan Op Jangkar Haram bagi membanteras kegiatan pencerobohan kapal-kapal asing di perairan negara, perbuatan itu masih lagi berlaku.

Pada minggu ini sahaja empat kapal sudah ditahan kerana berlabuh tanpa kebenaran Jabatan Laut Malaysia.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menahan dua kapal tangki asing yang melakukan kesalahan sama iaitu bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor timur.

Katanya, kes terbaharu atau ketiga minggu ini berlaku sekitar pukul 11.33 pagi kelmarin pada kedudukan 14.5 batu nautika Tanjung Penawar.

“Kapal yang berdaftar dari Singapura ini dikendalikan 21 kru warga China dan Pakistan masing-masing berumur antara 25 hingga 66 tahun, mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Sementara kes keempat berdaftar dari Kiribati, ditahan sekitar pukul 2.55 petang semalam pada kedudukan 5.4 batu nautika Tanjung Punggai.

“Kapal ini dikendalikan empat kru warga Indonesia berumur di antara 25 hingga 55 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kes pertama dalam minggu ini adalah pada Isnin lalu selepas Maritim Johor menahan sebuah kapal tangki dari Korea Selatan yang bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan 15 batu nautika timur laut Tanjung Siang.

Kes kedua pula pada Rabu lalu selepas Maritim Johor menahan sebuah kapal tangki yang berdaftar di Pelabuhan Klang pada kedudukan 4.1 batu nautika timur laut Tanjung Punggai.

Mengulas lanjut, Nurul Hizam berkata, kedua-dua nakhoda kapal tangki bagi kes ketiga dan keempat itu gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh di perairan Malaysia dan ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Menurutnya, secara kumulatifnya sebanyak 80 kapal telah ditahan atas kesalahan bersauh tanpa kebenaran sepanjang tahun ini.

“Walaupun beberapa negara telah mengeluarkan amaran kepada industri perkapalan maritim supaya mematuhi arahan dan prosedur bersauh di perairan Malaysia, masih ada kapal yang ingkar terhadap prosedur yang ditetapkan.

“Maritim Malaysia akan terus meningkatkan penguatkuasaan bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan perairan negara,” katanya. – SB