Imam Masjid Negara meninggal dunia

Imam Masjid Negara, Ustaz Khisamudin Ismail, 53, meninggal dunia di rumahnya di Kota Puteri, Batu Arang, Rawang, sekitar jam 4 pagi tadi.

Beliau yang dilahirkan pada 14 Ogos 1968, meninggal dunia pada hari ulang tahun kelahirannya ke-53 hari ini.

Masjid Negara melalui hantaran di Facebooknya turut berkongsi berita sedih mengenai pemergiaan Khisamudin itu.

“Salam takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham Ustaz Khisamudin bin Ismail, Imam Masjid Negara yang telah kembali ke rahmatullah pada 14 Ogos 2021.

“Moga seluruh ahli keluarga tabah menghadapi kehilangan insan tersayang.

“Semoga ALLAH SWT melimpahkan rahmatNya ke atas beliau dan ditempatkan bersama dengan orang-orang yang beriman,” katanya.

Difahamkan jenazah Penolong Pengarah Kanan Unit Ibadah dan Dakwah Masjid Negara itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Arang, Selangor kira-kira jam 10.30 pagi pada Sabtu.

Arwah dilahirkan pada 14 Ogos 1958, meninggal dunia pada hari ulang tahun kelahirannya ke-53 hari ini.

Khisamudin meninggalkan seorang isteri dan tiga anak. – SB